PENYERAHAN BANTUAN PERSEKOLAHAN 2012



Malaysia Building Society Berhad yang merupakan bapa angkat kepada SK Parit Penghulu telah sudi menghulurkan sumbangan bantuan pakaian persekolahan tahun 2012 kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Majlis penyerahan bantuan tersebut telah diadakan pada 21 Disember 2011 yang lalu bertempat di kantin SKPP.
Seramai 22 orang pelajar telah terpilih untuk menerima bantuan pakaian persekolahan tersebut. Mereka menerima sumbangan berupa 2 pasang baju, 2 pasang seluar dan kain serta sepasang stoking dan kasut sekolah yang menelan belanja hampir RM 130.00 setiap seorang.
Selain bantuan tersebut, pihak MBSB juga telah memberi saguhati wang tunai sebanyak
RM 200.00 seorang kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2011 yang lalu. Seramai 5 orang pelajar SKPP yang berjaya mendapat keputusan 5A.
Sumbangan-sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Hassan b. Abd. Rahman (ADUN) Sungai Rambai dan En. Abdul Halim b. Zainal iaitu Pengurus Perniagaan Wilayah Selatan MBSB.
Tahniah kepada pelajar yang mendapat sumbangan dan saguhati. Terima kasih yang tidak terhingga kepada MBSB.
Sila klik di sini untuk lebih banyak gambar.

Read more...

LAWATAN GURU-GURU KE SARAWAK



Setelah melalui perjalanan sepanjang tahun 2011, guru-guru dan kakitangan SKPP telah berkunjung ke negeri Sarawak untuk menikmati suasana baru serta menghilangkan sementara tekanan kerja. Lawatan yang bermula pada tarikh 19 November 2011 dan berakhir pada 21 November 2011.
Para peserta rombongan seramai 44 orang berpeluang membeli-belah serta bertukar-tukar pandangan semasa berkunjung ke Sarawak. Banyak tempat yang telah dilawati antaranya pasar malam Satok, pasar Sarikin, kilang kek lapis, pasu Sarawak dan sebagainya. Mereka juga tidak ketinggalan untuk merasai keindahan panorama di sekitar Waterfront, Sarawak dan ada juga yang tidak melepaskan peluang menaiki sampan menyusuri sungai Sarawak.
Sememangnya lawatan sebegini memberi pengalaman yang berbaloi kepada semua peserta rombongan.

Read more...

PENYERAHAN BANTUAN KHAS RM100.00



Pada hari Jumaat iaitu 18 November 2011, Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu mengadakan majlis penyerahan bantuan khas RM 100.00 yang diumumkan pada bajet 2012 yang lalu. Majlis ini dimulai dengan taklimat khas oleh GPK HEM SKPP iaitu Pn. Hjh. Seniah bt. Jantan dan slot khas menabung bersama MBSB.
Ibu bapa yang mewakili pelajar Tahun 2 hingga Tahun 5 hadir untuk menerima bantuan tersebut bertempat di Bilik Kemahiran Hidup SKPP manakala pelajar tahun 6 menerima bantuan tersebut pada sebelah petang yang diadakan di JAPERUN Sungai Rambai.
Bantuan khas RM 100.00 untuk pelajar Tahun 1 akan disampaikan pada bulan Januari 2012.

Klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

KEPUTUSAN UPSR 2011


Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu mencatatkan peningkatan yang menggalakkan dalam keputusan UPSR 2011 yang lalu. Seramai 5 orang pelajar yang berjaya memperolehi keputusan 5A dan 3 orang pelajar mendapat 4A1B manakala 4 orang pelajar memperolehi 3A. Peratus keseluruhan meningkat kepada 75.6%. Tahniah kepada semua pelajar dan terima kasih kepada semua guru yang bertungkus-lumus sepanjang tahun 2011.
Pelajar yang memperolehi keputusan 5A adalah seperti berikut :
1. Siti fatimahtuzzaharah bt. Asran
2. Siti Nur Ain bt. Norhanafee
3. Amien Farhan b. Hamdan
4. Muhammad Da'ie Adni b. Mohd Radzi
5. Abdullah Azam b. Hazarul Shazly

Read more...

LATIHAN KEBAKARAN 2011



Satu sesi latihan kebakaran khas telah dijalankan oleh unit HEM SKPP pada 17 November 2011. Satu loceng panjang berbunyi menandakan berlakunya kebakaran. Tidak lama kemudian, pasukan bomba dan penyelamat dari Merlimau datang untuk menghulurkan bantuan.
Semasa latihan tersebut, para pelajar berpeluang mengenali dan mempelajari secara lebih dekat teknik-teknik mencegah kebakaran dan situasi kecemasan. Para pelajar juga diberi peluang memadam kebakaran kecil dengan menggunakan alat pemadam api.

Sila klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

HARI KUALITI 2011



Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu mengadakan Hari Kualiti pada tarikh 16 November 2011 bertempat di dewan SKPP. Program sebegini diadakan untuk menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang memperolehi kejayaan yang cemerlang sepanjang tahun 2011.
Majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh En. Nasir b. Marob iaitu Penolong Pengurus MBSB (Malaysia Building Society Berhad). SK Parit Penghulu merupakan anak angkat kepada MBSB. Pihak berkenaan juga telah sudi menghulurkan sumbangan dan tajaan sebanyak RM 1000.00 untuk menjayakan Hari Kualiti tersebut. Terdapat juga beberapa agensi dan syarikat swasta lain yang turut sama menghulurkan bantuan untuk program tersebut.
Warga SKPP mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang berjaya dan terima kasih juga kepada semua pihak yang melancarkan program tersebut.
Keputusan penuh sila klik disini
Untuk lebih banyak gambar sila klik disini

Read more...

LAWATAN KUALA LUMPUR





Seramai 80 orang pelajar SKPP yang terdiri daripada para pengawas dan pelajar-pelajar yang terpilih telah menyertai program lawatan sambil belajar pada 9 November 2011. Para pelajar berpeluang mengunjungi beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Tempat pertama yang dilawati oleh kumpulan tersebut ialah Kilang Yakult yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Mereka berpeluang menimba ilmu tentang pembuatan minuman Yakult. Selepas itu, lawatan diteruskan ke NGV Tech yang terletak di Teluk Panglima Garang di Selangor. Semasa berada di sana, para peserta diberi penerangan tentang pembuatan kapal-kapal yang dibina khas untuk kegunaan dalam negara dan luar negara.

Seterusnya para pelajar dibawa menikmati keindahan Kuala Lumpur dengan menaiki LRT dan kemudian singgah di KLCC yang menjadi mercu tanda Malaysia. Aktiviti terakhir untuk program tersebut ialah menikmati makan malam di Putrajaya.

Klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

AKTIVITI BERBASIKAL



Selasa (1 Nov 2011) - Seramai 34 orang pelajar Tahun Enam SKPP telah selamat menjalani aktiviti berbasikal sekitar Kampung Parit Penghulu dan Kampung Batu Gajah. Para pelajar dapat melalui pengalaman berbasikal secara berkumpulan dengan diiringi oleh guru-guru dan juga pegawai polis dari Balai Polis Sungai Rambai.
Mereka melalui Taman Seri Suria dan singgah sebentar di ladang ternakan kambing yang diusahakan oleh Encik Monjani. Konvoi berbasikal ini meneruskan ekspedisi mereka untuk melihat ternakan lembu tenusu dan destinasi terakhir ialah ladang ternakan haiwan yang diuruskan oleh Jabatan Veterinar Melaka yang terletak di Kampung Batu Gajah.
Semasa berada di ladang ternakan Jabatan Veterinar, para pelajar didedahkan dengan ilmu-ilmu penternakan haiwan seperti lembu, kambing, rusa dan beberapa spesies lain.
Sesungguhnya konvoi berbasikal ini dapat memberi pengetahuan baru kepada para pelajar. Mereka selamat tiba ke SKPP pada jam 12.30 tengahari.
Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
Sila klik disini untuk melihat lebih banyak gambar.

Read more...

PERKONGSIAN ILMU BERSAMA HONG WEN SCHOOL SINGAPURA




Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu begitu bertuah kerana dapat menerima kunjungan 170 orang pelajar dan guru-guru daripada Hong Wen School, Singapura. Program tersebut berlangsung pada 28 Oktober 2011 yang lalu.
Para pelajar Hong Wen School telah diberi pendedahan tentang pelbagai jenis permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Mereka berpeluang melihat dan mempelajari permainan tradisional seperti sepak raga, ketingting,congkak, batu seremban, konda-kondi, capteh, gasing, tuju tin, galah panjang, nenek si bongkok tiga, ceper dan pukul kepala jin.
Pelajar-pelajar SKPP memberi kerjasama yang baik semasa kunjungan tersebut malah mendapat pelbagai maklumat dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain.
Sememangnya program sebegini memberi manfaat dan satu pengalaman baru kepada guru-guru dan para pelajar SKPP.
Terima kasih kepada semua yang terlibat.
Sila klik di sini untuk lebih banyak gambar

Read more...

KEJOHANAN RAGBI JEMPUTAN D'RHINOS



Seramai 11 orang pelajar SKPP telah menyertai Kejohanan Ragbi Sentuh Jemputan D'Rhinos pada 22 Oktober 2011. Kejohanan tersebut berlangsung di SK Paya Rumput, Alor Gajah, Melaka. Pelajar-pelajar SKPP yang terlibat iaitu dalam lingkungan umur bawah 10 tahun.
Para pelajar ini berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berharga semasa berlangsungnya kejohanan tersebut.
Sebanyak 6 buah pasukan jemputan dari Melaka dan Johor menyertai kejohanan Ragbi Jemputan D'Rhinos bagi kategori bawah 10 tahun dan 12 buah sekolah bagi kategori umur bawah 12 tahun.
Para pemain SKPP telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap permainan yang dilangsungkan dan hasilnya pasukan SKPP berjaya mendapat Naib Johan kategori Plate.
Tahniah dan selamat maju jaya kepada semua pemain yang terlibat.

Klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

KEJOHANAN OLAHRAGA DAN BALAPAN SKPP




Unit Ko-kurikulum SKPP telah mengadakan temasya sukan yang dikenali sebagai Kejohanan Olahraga dan Balapan pada 13 Oktober 2011. Kejohanan yang berlangsung di padang SKPP mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar dan juga ibu bapa.
Pada tahun 2011 ini, pihak sekolah telah mengadakan sukantara sebelum berlangsungnya temasya olahraga dan balapan. Rumah Merah yang dikenali sebagai Laksamana berjaya mengungguli sukantara tersebut.
Semasa kejohanan berlangsung, pelbagai acara dipertandingkan mengikut kategori iaitu kategori A, B, C dan D mengikut had umur masing-masing. Tidak ketinggalan acara perbarisan yang telah dimenangi oleh Rumah Biru yang dikenali sebagai Syahbandar. Khemah terbaik dan tercantik telah disandang kejuaraannya oleh Rumah Hijau yang dikenali sebagai Temenggung.
Setelah bertungkus-lumus dalam pelbagai acara seperti lompat jauh, lempar cakera, lontar peluru, 100m, 200m dan 4X100m, Rumah Biru yang dikenali sebagai Rumah Syahbandar telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan mengumpul 17 pingat emas, diikuti Rumah Kuning (10 emas), Rumah Merah (9 emas) dan Rumah Temenggung (6 emas).
Tahniah dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

PROGRAM SEMBELIHAN



Para pelajar SKPP yang telah selesai menjalani UPSR 2011 telah berpeluang mempelajari cara-cara dan teknik-teknik sembelihan berdasarkan ajaran Islam. Program yang julung kali ini diadakan pada 6 Oktober 2011 yang lalu.
Panitia Pendidikan Islam telah bekerjasama bersama-sama unit kecemerlangan UPSR untuk merealisasikan hasrat murni tersebut. Semasa program tersebut berlangsung, para pelajar berpeluang untuk menonton dan mempelajari teknik-teknik sembelihan yang betul. Selain itu, mereka juga dapat merasai sendiri pengalaman menyembelih haiwan. Beberapa ekor ayam disediakan untuk menjayakan program sembelihan ini. Murid-murid juga berpeluang mengaplikasikan cara-cara memproses ayam yang telah disembelih itu.
Di samping itu juga, sebilangan pelajar dan guru-guru menyediakan juadah seperti sup ayam untuk semua pihak yang terlibat dalam program tersebut.
Semoga program sembelihan ini memberi manfaat yang berguna kepada semua pelajar yang terlibat.

Klik disini untuk lebih banyak gambar

Read more...

SAMBUTAN HARI RAYA SKPP







Sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Parit Penghulu berlangsung dengan meriah pada 23 September 2011 bertempat di sekitar SKPP. Program anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Kelab Keluarga SKPP ini bermula sekitar jam 8.30 pagi dengan perarakan guru-guru mengaji dengan iringan paluan kompang.

Majlis pertama bermula dengan acara Khatam Al-Quran iaitu seramai 8 orang pelajar Tahun Enam SKPP yang khatam Al-Quran sepenuhnya pada bulan Ramadhan yang lalu. Majlis ini juga diselitkan dengan ucapan perpisahan seorang bekas kakitangan SKPP iaitu Pn. Salina yang telah bertukar ke SK Parit Gantong.

Program Khatam Al-Quran berakhir sekitar jam 10.00 pagi itu di susuli pula dengan jamuan perdana untuk semua guru dan murid-murid SKPP. Pelbagai juadah dan hidangan kuih raya boleh dinikmati semasa jamuan tersebut.

Untuk lebih banyak gambar, sila klik di sini.

Read more...

LAWATAN KE SURE JADE, MUAR







Unit Kecemerlangan UPSR 2011 mengajak para pelajar dan guru-guru Tahun Enam SKPP berkongsi maklumat tentang kegiatan penternakan haiwan di Ladang Sure Jade yang terletak di Muar, Johor. Aktiviti ini diadakan pada 22 September 2011 bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari.

Lawatan sebegini diadakan khas untuk para pelajar Tahun Enam SKPP yang baru selesai menduduki UPSR 2011 yang lalu agar dapat menghilangkan tekanan dan membuka minda para pelajar tentang program penternakan haiwan.

Para pelajar dan guru-guru dapat melihat dan mengetahui lebih dekat tentang haiwan-haiwan yang terdapat di ladang tersebut. Antara haiwan yang dipelihara di ladang tersebut seperti rusa, kuda, ayam belanda, angsa dan ayam mutiara. Peluang menunggang kuda juga menjadi satu pengalaman yang sangat berharga kepada guru-guru dan para pelajar yang hadir. Selain itu, para pengunjung juga dapat merasai kenikmatan hidangan daging rusa pada akhir program lawatan tersebut.

Sila klik di sini untuk melihat lebih banyak gambar.

Read more...

PROGRAM MARHABAN AIDILFITRI







Program Marhaban sempena Hari Raya Aidilfitri telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Beberapa buah rumah penduduk sekitar Kampung Parit Penghulu telah dilawati sempena program marhaban yang diadakan pada 19 September 2011 yang lalu.

Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama guru-guru dan para pelajar SKPP berjaya merealisasikan hasrat yang murni ini. Aturcara Program Marhaban yang bermula pada jam 2.00 petang ini berlangsung dengan meriahnya dan berakhir sekitar jam 5.00 petang.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Untuk lebih banyak gambar sila klik di sini.

Read more...

MAJLIS KHATAM AL-QURAN









Panitia Pendidikan Islam SKPP mengadakan Majlis Khatam Al-Quran pada 25 Ogos 2011 yang lalu bertempat di surau SKPP. Sepanjang Ramadhan tahun ini, murid-murid dan guru-guru SKPP bertadarrus Al-Quran pada waktu rehat untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadhan yang mulia ini.


Pada kesempatan itu juga, warga SKPP mengadakan sambutan pra aidilfitri untuk sama-sama merasai kehangatan dan kemeriahan Aidilfitri yang bakal berlangsung. Majlis yang dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran itu diselangi dengan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan semua murid SK Parit Penghulu.


Guru-guru, kakitangan dan para pelajar SKPP mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua umat Islam.


Sila klik di sini untuk lebih banyak gambar

Read more...

PENUTUP JAGUH SEKOLAH 2011




Setelah mengharungi perjalanan selama 142 hari, Program Jaguh Sekolah Musim ke-4 telah melabuhkan tirainya pada 25 Julai 2011. Program yang menghimpunkan pelbagai aktiviti yang melibatkan gabungan pelbagai panitia matapelajaran ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar SK Parit Penghulu.



Majlis perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan oleh en. Suparman b. Hj. Abu iaitu pengusaha Kem Modal Insan Kampung Parit Penghulu. En. Suparman b. Hj. Abu mengucapkan syukur kepada Allah kerana beliau diberi peluang untuk bersua muka dengan guru-guru serta para pelajar SK Parit Penghulu. Beliau mengimbau semula detik-detik pertama persekolahan beliau semasa era 50-an di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu ini. Pada mulanya sekolah ini dibina hanya terdapat dua buah bangunan sahaja yang dibina menggunakan pokok gelam. Pada masa itu, hanya terdapat dua buah kelas sahaja iaitu Tahun 1 dan tahun 2 sahaja.


Selain itu, en. Suparman juga mengajak para pelajar untuk berkongsi kejayaan-kejayaan pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sekolah ini. Bekas-bekas pelajar ini telah berjaya dalam bidang masing-masing dan mengharumkan nama sekolah serta Kampung Parit Penghulu. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang terlibat. Semoga berjumpa lagi pada tahun 2012.

Keputusan penuh Program Jaguh Sekolah, sila klik di sini.

Untuk melihat lebih banyak gambar, sila klik di sini.

Read more...

KUIZ KESIHATAN NEGERI MELAKA













Wakil Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu seramai 4 orang pelajar telah menyertai Pertandingan Kuiz Kesihatan Kawasan Merllimau pada 12 Julai 2011 bertempat di SK Sempang. Dalam pertandingan peringkat Kawasan Merlimau, SK Parit Penghulu berjaya dinobatkan sebagai Johan Kawasan Merlimau mengatasi 15 sekolah yang lain.

Keputusan tersebut menyaksikan SKPP sekali lagi berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir negeri Melaka yang telah diadakan pada 16 Julai 2011 bertempat di dewan Bestari, jabatan Pelajaran Melaka. SKPP sekali lagi mengungguli peringkat separuh akhir tersebut dengan muncul johan separuh akhir.

Wakil-wakil SK Parit Penghulu akan membuat kemunculan di pentas akhir Pertandingan Kuiz Kesihatan Negeri Melaka pada 16 Ogos 2011 akan datang yang akan dilangsungkan di Dewan Bestari, Jabatan Pelajaran Melaka.

Semoga SK Parit Penghulu berjaya dengan sebaiknya pada tahun 2011 ini. Selamat maju jaya kepada para peserta dari SKPP iaitu :

1. Muhammad Da'ie Adni b. Mohd Radzi

2. Abdullah Azam b. Hazarul Shazly

3. Safra Khairina bt. Mohd Radzi

4. Nur Farhana Hanani bt. Lailan

Read more...

MAJLIS PERPISAHAN EN. KAMARUDDIN B. JANTAN











Kelab Keluarga SK Parit Penghulu merakamkan ucapan terima kasih kepada en. Kamaruddin b. Jantan atas sumbangan bakti beliau semasa berkhidmat di SK Parit Penghulu, Sungai Rambai. Beliau yang berkhidmat di SK Parit Penghulu telah diarahkan berpindah ke sekolah yang baru iaitu SK Merlimau 1. Justeru itu, Kelab Keluarga SKPP telah mengadakan satu jamuan khas sempena pertukaran beliau pada 2 Julai 2011 yang lalu.

Selian itu juga diadakan jamuan kesyukuran atas anugerah yang diterima oleh beberapa orang guru SKPP. Kelab keluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan selamat menjalankan tugas kepada en. Kamaruddin b. Jantan.

Sila klik di sini untuk paparan lebih banyak gambar

Read more...

PELANCARAN 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA

























Dasar 1 Murid 1 Sukan menekankan penglibatan setiap murid dalam sukan. Penglibatan ini lebih menjurus kepada penyertaan, penglibatan, pemahaman dan pengetahuan mengenai sukan berkenaan tanpa mementingkan prestasi mereka.

Program sebegini telah dilangsungkan pada 2 Julai 2011 bertempat di sekitar Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu. Murid-murid didedahkan dengan gaya hidup sihat seperti berlari sejauh 1.5 km dan beberapa jenis permainan seperti bola sepak, badminton, bola tampar, bola jaring dan sebagainya. Perjalanan aktiviti tersebut bermula pada jam 7.15 pagi dan berakhir jam 12.40 tengahari.

Ramai pelajar dan iibu bapa yang hadir semasa berlangsungnya program tersebut. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam temasya tersebut.


Untuk melihat lebih banyak gambar sila klik di sini

Read more...

HARI TERBUKA DAN HARI JUALAN SKPP 2011
















Kehadiran ibu bapa, penjaga dan para pelajar SKPP begitu menggalakkan pada Hari terbuka dan hari Jualan SKPP. Program yang diadakan pada 16 Jun 2011 (Khamis) telah berjaya membuka peluang kepada guru-guru dan ibu bapa pelajar untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat dalam suasana yang muhibbah.


Buat julung kalinya, pihak sekolah mengadakan hari terbuka dan hari jualan secara serentak. Pada program tersebut, para pelajar juga berpeluang untuk menikmati juadah hasil tangan guru-guru seperti makanan. minuman, buah-buahan dan sebagainya. Selain itu, tetamu yang hadir juga dapat merasai pelbagai aktiviti dan permainan yang begitu menarik antaranya kereta kawalan jauh, bingo, puzzle, teka muka surat buku, karom dan sebagainya.


Pihak sekolah bersama kelab Keluarga SKPP yang menganjurkan program tersebut mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat.


Untuk lebih banyak gambar sila klik di sini

Read more...

JEJAK MAKLUMAT UPSR 2011













Satu program khas telah diadakan pada 30 dan 31 Mei 2011 yang lalu di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. Program yang diberi nama Jejak Maklumat Kecemerlangan UPSR 2011 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari satu malam.

Program ini diadakan untuk mendedahkan para pelajar tentang teknik-teknik terkini menjawab soalan UPSR yang akan tiba pada September nanti. Selain itu, program ini juga dapat mendedahkan para pelajar dengan pelbagai aktiviti jati diri serta memupuk semangat kerjasama yang jitu antara pelajar.

Antara program yang dilaksanakan ialah :

1. Teknik menjawab Bahasa Melayu

2. Teknik menjawab Bahasa Inggeris

3. Teknik menjawab Matematik

4. Permainan Paintball

5. Night Walk Challange

6. Sukaneka

7. Merempuh halangan


Tahniah kepada para pelajar yang mengikuti program tersebut dan juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru yang terlibat.


Untuk mellihat lebih banyak gambar sila klik di sini

Read more...

MESYUARAT AGUNG PIBG KE-37







Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Penghulu mengadakan mesyuarat agung kali ke-37 pada 19 Mei 2011 bertempat di dewan terbuka SKPP. Majlis yang bermula pada jam 2.00 petang ini disempurnakan oleh en. Jalaudin b. Mamat iaitu wakil kepada Datuk Hassan b. Rahman (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai).

Ramai ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan dan menyumbang buah fikiran untuk memajukan peningkatan pelajar di SKPP.

Banyak usul yang diutarakan pada mesyuarat agung tersebut antaranya mengadakan kelas tambahan untuk pelajar Tahun 4, 5 dan 6. Selain itu, ada juga usul yang diutarakan untuk menyeragamkan pakaian pelajar lelaki pada setiap hari Jumaat iaitu baju melayu yang seragam dan sekata.

semua usul yang diajukan telah dibincangkan dengan berlapang dada dan mendapat maklum balas yang baik di kalangan ibu bapa dan guru-guru.

Read more...

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP