SEJARAH SEKOLAH

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai,77400 Melaka didirikan pada tahun 1958 secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Rangka bangunan dan kerusi meja dibuat dari kayu gelam. Kaum ibu pula menganyam atap dari daun rumbia. Papan dibeli dari sumbangan wang orang ramai.Bangunan dua bilik darjah itu dapat disiapkan dalam beberapa hari sahaja. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd. Khir Bin Johari,Menteri Pelajaran. Tanah tapak sekolah seluas 1.3 ekar telah diwakafkan oleh allahyarham Tuan Haji Khairil bin Sarkawi.

Sebelum pembinaan sekolah ini, anak-anak kampung ini terpaksa pergi ke Sekolah Melayu Sungai Rambai dan Sekolah Melayu Parit Gantung. Jalan untuk ke sekolah tersebut jauh dan melalui kebun getah dan dusun kelapa.

Pada tahun 1959, bangunan sekolah telah musnah dipukul rebut. Murid-murid menumpang belajar di Sekolah Agama Rakyat Parit Penghulu. Pada tahun 1960, kerajaan telah membina bangunan dua bilik darjah. Bilangan kelas ada empat dan jumlah murid pada ketika itu ialah 120 orang. Keadaan kelas sangat sesak. Jika keadaan cuaca mengizinkan murid-murid belajar di bawah pokok getah.

Pada tahun 1961, kerajaan telah membina satu lagi bangunan 2 bilik darjah. Setelah ada 4 bilik darjah, kelas bertambah menjadi 5. Kelas darjah 6 diwujudkan pada tahun 1956 walaupun keadaan kelas sesak seperti dahulu.

Dalam tahun 1970 satu bangunan mengandungi 3 bilik darjah dibina. Bangunan ini dinamakan Blok C. Bilik stor di antara Blok A dan Blok C dijadikan pejabat sekolah. Pada tahun 1980, PIBG membina sebuah bilik sembahyang dan kolah untuk wudhuk dengan menyambung bahagian hujung Blok A. Bangunan kantin dibina pada tahun 1981.

Bangunan tambahan mengandungi 3 bilik darjah dibina pada tahun 1988 dan setengah bilik darjah diubahsuai menjadi bilik Guru Besar dan pejabat. Satu lagi bangunan tambahan 2 tingkat mengandungi 6 bilik siap dibina pada Jun 1994. Blok D yang mempunyai 3 bilik darjah dijadikan bangunan Pusat Sumber, iaitu Bilik APD, Perpustakaan dan Bilik Tayang.
Pada tahun 2001 dan 2002 Bilik Pendidikan Khas dan Pra Sekolah telah dibina. Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu telah dicalonkan sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2003.

0 ulasan:

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP