Kursus Kepimpinan anjuran bersama unit Bimbingan dan Kaunseling, Pusat Sumber dan HEM SKPP telah diadakan pada 3 dan 4 Mac 2011 bertempat di Pusat Ko-Kurikulum, Lanchang, Melaka.
Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pengawas bagaimana untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan boleh membantu pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin. Para pengawas akan lebih jelas dengan tugas dan tanggungjawab mereka serta bagaimana tugas tersebut dapat dijalankan dengan berkesan.
TILAWAH AL-QURAN KAWASAN MERLIMAU
Seramai 6 orang pelajar SKPP menyertai Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kawasan Merlimau yang telah diadakan pada 1 Mac 2011 (Selasa). Majlis tersebut berlangsung di Sekolah Kebangsaan Merlimau bermula jam 8.00 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Walaupun para peserta SKPP hanya mendapat saguhati dalam pertandingan tersebut, program sebegini dapat mencungkil bakat serta keyakinan pelajar untuk berhadapan dengan khalayak ramai.
Berikut senarai nama pelajar yang menyertai pertandingan tersebut mengikut kategori :
Tilawah
1. Muhammad Azim b. Abd. Rahman
2. Nur Syazrah Aina bt. Mohd Khalim
Hafazan
1. Mohd Da'ie Adni b. Mohd Radzi
2. Nur Humayrah bt. Md. Lazam
Bercerita
1. Safra Khairina bt. Mohd Radzi
2. Putera Muhammad Syibli b. Jamil
MERENTAS DESA 2011
Pada jam 3.15 petang, para peserta di kalangan pelajar SKPP dilepaskan oleh en. Bahari b. Ahmad iaitu Yang DiPertua PIBG SKPP. Mereka bermula di pintu masuk SKPP menuju ke beberapa 'check point' yang telah disediakan di sekitar Kampung Parit Penghulu.
Program Merentas Desa pada tahun ini disertai oleh pelajar-pelajar dari tahun 3 hingga Tahun 6.
Mereka menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk menghabiskan acara tersebut. Walaupun kepenatan, para pelajar kelihatan gembira dengan aktiviti sebegini.
Tahniah kepada unit Ko-Kurikulum SKPP yang berjaya menganjurkan aktiviti merentas desa 2011.
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2011
Sambutan Maulidur Rasul peringkat Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu telah dilangsungkan pada 25 Februari 2011 (Jumaat). Majlis yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam ini berjaya memikat para pelajar dan guru-guru kerana menampilkan penceramah yang banyak berkongsi maklumat tentang sirah Nabi Muhammad S.A.W. Slot kali ini panitia Pendidikan Islam menjemput Ustaz Mohd Nizam b. Ali untuk berbicara tentang sambutan tersebut.
Terdahulu sebelum itu, guru-guru dan kakitangan serta AJK PIBG bergotong-royong menyiapkan pelbagai juadah untuk santapan guru-guru dan para pelajar SKPP.
Pada jam 8.00 pagi, para pelajar dan guru-guru berarak sekitar Kampung Parit Penghulu sambil membawa sepanduk dan bersalawat untuk menzahirkan tanda kesyukuran.
Semoga program kali ini memberi pelbagai manfaat kepada semua pihak dan semangat kerjasama yang dizahirkan itu memberi ikatan persaudaraan antara semua.
SEHARI BERSAMA KUNTUM
Warga Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu berasa sungguh bertuah kerana didatangi oleh Si Comel iaitu maskot Majalah Kuntum pada 22 Februari 2011 (Selasa) bermula jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi.
Produksi Majalah Kuntum dari Star Publication membuat "roadshow" tersebut untuk memberi pendedahan serta perkongsian ilmu kepada para pelajar tentang kepentingan mencari bahan bacaan yang sesuai dan menarik.
Majalah Kuntum yang terkenal sejak 30 tahun yang lalu sememangnya satu bahan bacaan yang berilmiah dan dapat mengisi minda pelajar dengan gaya dan warna yang menarik.
Para pelajar dan guru-guru juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama Si Comel pada hari tersebut. Seramai 24 orang pelanggan tahunan Majalah Kuntum diberi peluang istimewa untuk sesi bergambar bersama maskot tersebut.
Pihak sekoolah berharap program yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah ini dapat memberi satu suntikan semangat baru kepada pelajar untuk lebih meningkatkan bahan bacaan mereka. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya AJK Pusat Sumber SKPP.
MOTIVASI MENGGILAP PERMATA AYAH BONDA 2011
Program diadakan pada hari Sabtu 19 Februari 2011 bertempat di dewan terbuka SKPP bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Matlamatnya untuk melahirkan hubungan yang erat dan kerjasama yang kental antara murid, guru dan ibu bapa dalam menjana kecemerlangan akademik dan sahsiah murid Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu.
Unit Bimbingan dan Kaunseling SKPP dengan kerjasama Motivateam Consultancy berjaya memberi kesedaran serta memupuk nilai-nilai murni di kalangan pelajar SKPP pada hari tersebut. Penceramah jemputannya iaitu En. Abdul Razak b. Hasan begitu teruja dengan kehadiran para pelajar dan ibu bapa semasa berlangsungnya majlis tersebut.
Dua slot khusus telah disediakan semasa program tersebut iaitu "Murid Cemerlang Dunia Cemerlang Akhirat" dan "Slot Keibubapaan".
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah jemputan serta semua guru dan AJK yang terlibat dalam menganjurkan program tersebut.
KEM BESTARI SOLAT 2011
Kem Bestari Solat kali pertama telah diadakan pada 12 Februari 2011 bertempat di Masjid Jamek Ar-Ridhuan, Parit Penghulu. Program bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Kem Bestari Solat pada kali ini adalah anjuran bersama antara SK Parit Penghulu dan Sekolah Rendah Agama Parit Penghulu.
Para peserta terdiri daripada semua ibu bapa serta pelajar Tahun 4,5 dan 6. Program ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan anak-anak tentang kepentingan pendidikan solat dan langkah-langkah untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadat solat.
Majlis penutup program Kem Bestari Solat kali pertama ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hassan b. Rahman iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis tersebut.
Langgan:
Catatan (Atom)
