10 November 2009 - Setelah melalui alam persekolahan di sekolah rendah selama 6 tahun, akhirnya para pelajar Tahun 6 SKPP akan meninggalkan alam persekolahan rendah dan melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Pelbagai kisah suka duka dikongsi bersama selama mereka bersekolah ini di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu.
Majlis dimulai dengan bacaan doa dan jamuan makan.
Wakil murid iaitu Mohd Ikmal Hisyam telah sudi memberikan ucapan semasa majlis itu berlangsung. Rata-rata pelajar yang ditemui berasa sedih untuk meninggalkan SKPP kerana banyak ilmu yang diperolehi dan dipelajari di sekolah ini.
Harapan pihak sekolah, semoga para pelajar ini akan berjaya pada masa-masa yang akan datang.
PROGRAM TaHa DI SKPP

9 November 2009 - Ramai ibu bapa dan pelajar SKPP yang berpeluang untuk menyertai Kelab TaHa anjuran Tabung Haji. Pelbagai keistimewaan yang ditawarkan kepada pelajar yang menyertai Kelab TaHa ini seperti potongan harga ke tempat-tempat berikut :
a. PETROSAINS
b. AQUARIA, KL
c. BIRD PARADISE WILDLIFE PARK
d. ZOO MELAKA
e. BUKIT MERAH LAKE TOWN
Akaun simpanan ini amat sesuai untuk adik adik berumur diantara 7 hingga 17 tahun dan akaun Kelab Taha bolehlah dibuka dengan hanya serendah RM 2.00 setiap seorang. Justeri itu, para pelajar boleh mula menyimpan dalam jalan yang halal dan seterusnya memupuk minat untuk menunaikan haji dalam usia muda. Program ini telah berjalan selama 20 tahun namun mungkin kerana kurang promosi oleh pihak berkenaan, program ini kurang dikenali oleh para pelajar
Jadi janganlah biarkan diri kita ketinggalan.. didiklah mereka menabung di usia muda.Sila klik Kelab Taha dan anda akan saya bawa ke "new window" untuk mendapat lebih informasi dari Tabung Haji. Terdapat banyak keistimewaan menanti adik adik yang menjadi ahli nanti.
KURSUS PENGURUSAN JENAZAH
Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) telah menganjurkan program pengurusan jenazah. Program ini adalah menepati pengisian lepasan UPSR yang bertujuan memberi pendedahan serta ilmu yang sangat berguna kepada para pelajar terutamanya para pelajar tahun 6.
Program ini disampaikan oleh Ustaz Hj. Sulaiman b. Hj. Daud iaitu seorang pesara dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Salah seorang pelajar SKPP iaitu Mohd Fadhli b. Abd. Rashid telah sudi menjadi model jenazah bagi program ini. Kesanggupan dan keberanian beliau amat dihargai dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang lain.
Semoga apa yang dipelajari oleh pelajar dalam program ini mendapat manfaat dan boleh digunakan pada masa akan datang.
LAWATAN KE CAMERON HIGHLANDS
Seramai 41 orang pelajar SKPP menyertai lawatan ke Bukit Merah Lake Town dan Cameron Highlands pada 30 Oktober hingga 1 November yang lalu. Rombongan ini diiringi oleh 4 orang guru iaitu En. Azli, En. Mohd Nizam, Pn. Siti Zabedah dan Pn. Khairani.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun kepada para peserta lawatan tersebut seperti melawat Taman Eco, melihat pertunjukan haiwan dan mandi-manda di taman tema.
Para peserta juga berpeluang menikmati suasana sejuk dan dingin di kawasan tanah tinggi Cameron. Pengalaman bermalam di Cameron Highlands begitu menyeronokkan peserta lawatan hinggakan ada pelajar yang menggigil kesejukan.
Program yang diatur di Cameron Highlands ialah melawat kilang Teh Boh, melawat ladang lebah dan pasar agro. Pengalaman yang ditunggu-tunggu oleh para peserta rombongan ini ialah memetik sendiri buah strawbery yang terdapat di ladang. Mereka begitu teruja dengan suasana dan pengalaman tersebut.
PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN
Peperiksaan akhir tahun 2009 berlangsung pada 26 Oktober hingga 4 November 2009. Semua pelajar SKPP menduduki peperiksaan tersebut pada tarikh dan waktu yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Tujuannya untuk menguji tahap penguasaan murid dalam semua mata pelajaran yang telah dipelajari sepanjang tahun 2009.
Semoga semua pelajar berjaya.
Read more...
Tujuannya untuk menguji tahap penguasaan murid dalam semua mata pelajaran yang telah dipelajari sepanjang tahun 2009.
Semoga semua pelajar berjaya.
JOHAN TILAWAH AL-QURAN
Salah seorang pelajar SKPP iaitu Patehah bt. Behzari telah dinobatkan sebagai johan tilawah Al-Quran semasa Ihtifal Khatam Quran Program J-Qaf. Program ini telah dilangsungkan pada 28 Oktober 2009 bertempat di SK Batu Gajah. Lantaran itu, Patehah akan mewakili Kawasan Merlimau untuk pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat negeri Melaka yang akan diadakan pada 11 November 2009 di SK Kem Terendak.
Pada temasya tersebut, SKPP juga telah menghantar beberapa orang wakil untuk kategori yang lain seperti dikir barat dan kuiz J-Qaf dan berjaya juga mendapat saguhati.
NAJIHA PENGAWAS PSS TERBAIK SEPANJANG TAHUN 2009
Unit Media SKPP telah mencalonkan beberapa orang pengawas perpustakaan untuk dinilai sebagai pengawas perpustakaan terbaik sepanjang tahun 2009. Setelah meneliti semua aspek dan tatacara tugasan yang telah ditunjukkan oleh pengawas-pengawas perpustakaan ini, maka pengawas perpustakaan terbaik SKPP sepanjang tahun 2009 telah dianugerahkan kepada Nur Najiha bt. Hj. Razali.
Beliau dipilih kerana menunjukkan komitmen yang tinggi dalam tugasannya sepanjang tahun 2009. Hadiah berupa pakej pelancongan secara percuma bernilai RM 125.00 telah disampaikan oleh guru besar SK Parit Penghulu kepada Nur Najiha.
Semoga hadiah ini menjadi suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk sama-sama menabur khidmat kepada sekolah.
Langgan:
Catatan (Atom)
